Jakarta – Siapa sangka ungkapan pemilik kedai fesyen warga Indonesia ini yang mahu menyambut hari lahir ‘bersendirian di laut’ menjadi kenyataan selepas dia menjadi mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501.
Themeiji Thejakusuma, 44, sepatutnya meraikan ulang tahun kelahirannya pada Sabtu lalu dengan belayar menaiki kapal mewah menjelajah Malaysia dan Thailand, namun tarikh itu bertukar menjadi tarikh kepulangan jasadnya kepada keluarga.
Anak saudaranya, Eric Edi Santo berkata, masih terngiang-ngiang di ingatan hajat terakhir ibu saudaranya itu.
“Kami ada bertanya bagaimana dia mahu menyambut hari lahirnya tahun ini dan dengan nada bergurau dia menyatakan mahu menghabiskan masa di laut seorang diri.
“Tidak sangka gurauan dia menjadi kenyataan, malah Tuhan juga tidak mahu dia bersendirian menyambut hari lahir di laut dan kini sudah ditemui,” katanya.
Themeiji menaiki pesawat berkenaan bersama suami, ibu, tiga anaknya dan bakal menantu lelakinya.
Mereka ke Singapura untuk belayar menaiki kapal mewah, namun selepas 45 minit terbang di udara, pesawat itu dilaporkan terhempas di sekitar Laut Jawa.
Mayat Thejakusuma ditemui bersama anak perempuannya Stevie Gunawan dan mereka antara 37 mayat mangsa nahas yang dijumpai pasukan BASARNAS setakat semalam.
Keluarga Themeiji yang masih lagi gagal ditemui adalah suaminya Jie Charly Gunawan 48, ibunya, Jo Indri, 82, dua anaknya iaitu Steven, 19 dan Stephanie serta tunang Christanto Leoma Hutama, masing-masing berusia 28 tahun.